Tuesday, September 7, 2010

myMetro | Gesa segera solat berjemaah

myMetro | Gesa segera solat berjemaah

SEGAMAT: “Sebaik selesai azan Zuhur, dia (Md Sukor Md Dalip, 47,) tanpa berlengah mengambil wuduk. Dia sempat menyuruh semua jemaah Surau Felda Moakil segera berwuduk supaya dapat menunaikan solat Zuhur secepat mungkin,” kata Suwandi Chokro, 58, jiran kepada empat beranak yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori, semalam.

Dalam kejadian di Kilometer 150 Jalan Segamat-Labis, dekat sini, Proton Iswara dipandu Md Sukor bertembung treler ketika mangsa bersama tiga ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Moakil, dekat Labis, kira-kira 2.30 petang semalam.

Pertembungan kedua-dua kenderaan terbabit menyebabkan kereta dinaiki empat beranak berkenaan terperosok di bawah treler sebelum diheret kira-kira 50 meter hingga ke bahu jalan.

Kejadian mengerikan itu membuatkan empat sekeluarga itu tersepit dalam kenderaan dan mati di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak cedera.

Selain Md Sukor, turut terbunuh ialah isterinya, Zaiton Mohd Rasip, 54, serta dua anak mereka, Mohamad Syafiq, 16, dan Mohamad Syazwan, 15.

Menceritakan semula detik sebelum kejadian, Suwandi berkata, jirannya itu kelihatan gembira dan beria-ia mahu menunaikan solat Zuhur berjemaah.

“Sebaik selesai azan, mangsa menyuruh semua jemaah segera berwuduk supaya menunaikan solat secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Suwandi berkata, sebaik selesai menunaikan solat, mangsa tergesa-gesa meninggalkan surau dan hanya sempat bersalaman dengan beberapa jemaah.

Namun, kami meneruskan ibadah masing-masing sambil berharap dapat menemuinya semula pada solat Tarawih pada sebelah malamnya.

“Bagaimanapun, saya dikejutkan dengan kejadian ini. Seorang rakan memaklumkan kenderaan dipandu mangsa terbabit kemalangan,” katanya.

Suwandi berkata, selama beberapa hari ini, dua anak mangsa yang berusia 15 dan 16 kelihatan begitu mesra kerana setiap kali berjumpa mereka tanpa segan silu memeluk jiran sebagai tanda memohon kemaafan sempena ketibaan Aidilfitri.

Difahamkan, kedua-dua mangsa meninggalkan tiga lagi anak, masing-masing bekerja di daerah ini dan Johor Bahru.

1 comment:

Anip™ said...

jom solat jemaah sam2..hehe